Wednesday, June 27, 2012

CERITA SAYA

Saya dilahirkan di Kg Renal, Ulu Klawang, Jelebu NSDK pada 17hb Oktober, 1954. Bersekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Amar Penghulu, Ulu Klawang, kemudian ke Sekolah Menengah Undang Jelebu sehingga ke tingkatan 3. Tingkatan 4 dan 5 saya bersekolah di ACS Seremban. Saya meneruskan pembelajaran saya ditingkatan 6 rendah di KGV Seremban. Saya tidak lama bersekolah disini, selang beberapa bulan saya mendapat tawaran untuk mengikuti kursus Diploma Sain Peternakan di UPM Serdang, Selangor.


Rezeki saya baik, setelah menghabiskan tahun pertama diploma, saya ditawarkan untuk terus mengikuti program ijazah Kedoktoran Veterinar selama 5 tahun. Alhamdullilah saya melepasi semua halangan sehinggalah saya menamatkan pengajian dan dikurniakan Ijazah Sarjana Muda Kedoktoran Veterinar pada tahun 1979.


Saya sempat berehat selama sebulan, sebelum ditawarkan untuk bekerja dengan Jabatan Perkhidmatan Haiwan (pada ketika itu). Sewaktu berehat, saya menoreh getah sebagai usaha mencari pendapatan. Saya lakukan pekerjaan ini kerana tidak mahu membebankan ibu saya yang pada masa itu seorang pesawah dan juga penoreh getah. Bapa saya telah lama meninggal dunia.


Setelah melaporkan diri di Ibu Pejabat Perkhidmatan Haiwan di Kuala Lumpur, saya dihantar dan ditempatkan disebuah ladang MAJUTERNAK di Jelai-Gemas, Negeri Sembilan, atau lebih dikenali sebagai ladang RDP Jelai-Gemas. Semasa saya ditempatkan disini, kerja utama saya ialah memberikan rawatan kepada ternakan lembu yang berpenyakit atau kurang sihat. Pemeriksaan status kebuntingan lembu-lembu di ladang ini juga menjadi tugas dan tanggungjawab saya.


Saya bertugas di RDP Jelai-Gemas sehingga penghujung bulan Disember, 1979. Pada 1hb Januari, 1980 saya ditukarkan ke Institiut Haiwan Kluang, Air Hitam, Johor. Saya berkhidmat di Institiut ini sebagai Pegawai Kesihatan Ternakan. Selain daripada menjaga kerihatan ternakan di Institiut, saya juga dilibatkan dalam program latihan Pembantu Urusan Haiwan yang dijalankan di Institiut ini dari masa ke semasa.


Padan tahun 1984,saya mendapat tawaran biasiswa untuk mengikuti ijazah sarjana dan bergaji penuh di Melbourne Australia selama 2 tahun 6 bulan. Bidang kajian dan pengajian saya ialah pengeluaran ternakan. Semasa di Australia, saya sempat melawat beberapa bidangusaha pengeluaran ternakan(lembu pedaging) berskala besar, khususnya di Queensland. Di sini saya didedahkan kepada sistem peternakan lembu pedaging yang luas ( extensive ) dengan kos pengeluaran yang rendah.


Kembalinya daripada Australia, pada pertengahan tahun 1986, saya di tempatkan di Pusat Ternakan Haiwan Pantai Timur Tanah Merah Kelantan, atau ringkasnya PTHPT. Di sinilah saya mula-mula sekali terlibat dengan pengurusan sebuah organisasi di dalam sektor awam. Dalam tempoh perkhidmatan saya di sini, saya pernah di hantar ke Jerman Barat (pada ketika itu ) untuk mengikuti kursus perancangan projek, ringkasnya TOPP selama 7 minggu.


Pada 1hb Januari, 1990 saya ditukarkan ke Kuantan dan menjawat jawatan Pengarah Perkhidmatan Haiwan Negeri. Saya berkhdmat di Pahang selama 8 tahun. Oleh kerana negeri Pahang ini luas dan demikian juga dengan perladangan kelapa sawitnya, tumpuan atau hala tuju pembangunan ternakan saya ialah memastikan ternakan ruminan di sini bebas penyakit kuku-dan-mulut (FMD) dan memajukan projek peternakan lembu pedaging di dalam perladangan kelapa sawit secara besar-besaran.


Seterusnya saya dipindahkan sementara ke Ibu Pejabat Perkhidmatan Haiwan Kuala Lumpur. Saya dipindahkan kerana dalam proses untuk meneruskan pembelajaran ijazah lanjutan ( PhD ) saya dalam bidang saian peternakan lembu pedaging di UPM Serdang. Disebabkan kepercayaan tertentu, saya menarik diri daripada program ijazah lanjutan ini dan meneruskan kerjaya saya di Ibu Pejabat JPH di Bukit Damansara. Di sini saya pernah memegang dua jawatan, yang pertama selaku Ketua Unit Abatoir dan keduanya Ketua Unit Pedaging. Semasa saya menjawat jawatan Ketua Unit Pedaging, sekali lagi saya berpeluang untuk berusaha meningkatakan pengeluaran daging negara dengan memberikan tumpuan kepada beberapa lokasi di seluruh negara yang mempunyai kawasan perladangan kelapa sawit yang luas. Ia akhirnya menjadi satu program khusus dalam JPH dan dikenali sebagai Projek Kawasan Tumpuan Sasaran atau ringkasnya Projek TAC.


Pada tahun 2003, saya ditukarkan ke negeri Terengganu dan menjawat jawatan Pengarah Perkhidmatan Veterinar negeri sehinggalah saya bersara kira-kira 7 tahun kemudian. Semasa di Terengganu, saya memberikan tumpuan kepada projek peternakan kambing pedaging. Kenapa projek kambing pedaging? Projek ini dipilih kerana kesesuaianya dengan keadaan dan masyarakat Melayu di negeri Terengganu pada ketika itu. Kesesuaian ini di uji melalui kaedah TOPP yang saya pelajari di Jerman satu ketika dahulu. Saya memperkenalkan satu sistem pengeluaran kambing pedaging secara intensif, atau ringkasnya Sistem KAPRIMA.


Semasa di Terengganu juga saya banyak terlibat dengan pembangunan usahawan ternakan, khususnya bagi mereka yang datang berkursus di Pusat Latihan Veterinar Cermin Kiri, Jerangau.


Pada tahun 2009, sata peristiwa bersejarah telah berlaku. Kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri, YAB Dato Seri Mohamad Najib telah memindahkan tanggungjawab memajukan industri sarang burung walit daripada Jabatan Perhilitan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar. Semenjak daripada itu saya mula bergiat aktif di dalam bidang yang baru ini sampailah ke alam persaraan saya.


Demikianlah serba ringkas, liku-liku perjalanan dan pengalaman bekerja saya, sehinggalah saya bersara. Kini kegiatan utama saya ialah memberikan nasehat serta perundingan bidangusa peternakan burung walit.


Skian,


Dr Azizol Mohd Sharun

Tuesday, June 26, 2012

MATLAMAT BLOG INI

Asalamualaikum dan salam sejahtera.


Saya bina blog ini bertujuan untuk membantu golongan belia, di mana jua mereka berada, mengikut kemampuan, pengalaman dan kepakaran yang saya miliki. Saya akan menulis mengenai pengalaman bekerja saya untuk tatapan serta pengetahuan anda semua. Dahulu saya berkerja dengan jabatan kerajaan dan saya menyumbang terus kepada usaha pembangunan masyarakat. Setelah berkhidmat selama 32 tahun, kini saya sudah bersara, tetapi saya merasakan perlu untuk meneruskan sumbangan dalam bentuk bimbingan, nasehat, idea, ilmu, dan pengalaman tertentu kepada masyarakat kita khususnya kaum Bumiputra.


Kenapa saya memilih golongan belia? Bukan sahaja  kerana individu yang tergolong di dalam kumpulan ini paling ramai, lebih penting lagi saya melihat jika kita hendak memajukan orang Melayu di masa yang akan datang, kita kena buat sesuatu kepada golongan belia hari ini. Sejajar dengan tajuk belia tiang negara. Jika tiang-tiang negara ini rapuh, negara boleh runtuh. Masa depan bangsa dan agama kita akan turut terancam.


Sungguh pun saya senantiasa merujuk kepada perkataan belia, ini tidak bererti golongan remaja dan veteran lain tidak sesuai atau boleh mengikuti apa yang saya akan ketengahkan di dalam blog ini dari masa ke semasa nanti. Peranan, idea, ulasan dan pandangan anda semua juga di alu-laukan.


Skian


Dr Azizol Bin Mohd Sharun